TOKYO: Sarawak mengintai peluang kerjasama dengan Jepun dalam teknologi pemindahan dan pertukaran industri e-metanol.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, e-metanol merupakan pemacu utama dalam usaha mengurangkan karbon dalam sektor yang memerlukan banyak tenaga.
Jelasnya, e-metanol akan menjadi salah satu bahan api yang digunakan dalam mengurangkan perlepasan karbon.
"Di sini (Jepun) rumit, kerana mereka hendak mengeluarkan gas sintetik. Kita, di Sarawak memiliki gas asli, jadi kita tidak ada masalah kerana sudah ada bahan asas.
“Apa yang kita perlukan adalah teknologi yang menggunakan gas sebagai bahan mentah untuk mengeluarkan produk-produk baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UKAS dan TVS selepas mengadakan lawatan ke Tokyo Gas Yokohama Techno Station di sini hari ini.
Ujarnya, dengan keupayaan Sarawak untuk mengeluarkan hidrogen akan menarik Jepun melabur dan mempunyai kilang di negeri ini kerana beberapa proses sudah tidak diperlukan, menjadikan kos pengeluaran gas itu lebih murah berbanding sebelum ini.
Terdahulu, ketibaan Premier Sarawak disambut oleh Timbalan Presiden Tokyo Gas Kentaro Kimoto dan kemudiannya diberi taklimat mengenai pengeluaran hidrogen dan bahan api sintetik e-metanol sebelum melakukan lawatan di sekitar fasiliti tersebut.
Premier Sarawak memberitahu, Sarawak amat bertuah kerana dianugerahkan dengan kekayaan sumber-sumber asli yang mampu menjadi alternatif penyelesaian tenaga bagi negara maju seperti Jepun.
"Jadi apa yang saya lihat sekarang ialah di Sarawak kita ada kelebihan kerana kita tidak mempunyai gas sintetik tetapi kita mempunyai gas asli yang ada di bumi kita iaitu metana.
"Hanya sekarang ini kita gunakan sumber metana untuk kita campurkan dengan karbon dioksida dan ia akan menjadi bahan mentah untuk produk yang berasaskan daripada gas ini," katanya.
Turut serta ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak yang lain. - EDISI UKAS